• 19 Okt 2024 | 16 Rabiul Akhir 1446

UMT Jadi Universiti Pelaksana Program WIFIdx Pertama di Malaysia

KUALA TERENGGANU, 19 Oktober -  Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjadi universiti pertama di Malaysia dipilih sebagai pelaksana program WIFIdx (The Women ICT Frontier Initiative) di Malaysia oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Naib Canselor UMT, Profesor  Dr. Mohd. Zamri Ibrahim berkata, sehingga kini WIFIdx telah dilaksanakan di 12 negara merentasi rantau Asia Pasifik termasuklah Armenia, Bangladesh, Cambodia, India, Kyrgyzstan, Papua New Guinea, Filipina, Sri Lanka dan Thailand.

"Alhamdulillah UMT amat berbesar hati dan bertuah apabila Sekretariat WIFIdx UN telah memberi mandat kepada UMT sebagai pelaksana WIFIdx di Malaysia untuk tempoh dua tahun.

"Selain itu, UMT turut bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk melaksanakan program WIFIdx di seluruh negara.

"Melalui usaha ini, UMT berhasrat untuk membantu meningkatkan kehidupan dan taraf ekonomi masyarakat yang  membawa manfaat besar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis pelancaran WIFIdx yang disempurnakan oleh Canselor UMT, iaitu Sultanah Terengganu Nur Zahirah, Tuanku Canselor UMT sempena majlis santapan petang di Taman Tamadun Islam di sini hari ini.

Terdahulu, keberangkatan tiba baginda bersama Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan kepimpinan kerajaan negeri.

Jelasnya, WIFIdx merupakan singkatan kepada “United Nations Women ICT Frontier Initiative” adalah program inisiatif pengukuhan ICT wanita Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (WIFIdx) dilancarkan pada tahun 2016 di bawah Asian and Pacific Training Centre for Information and Communication Technology for Development (APCICT), berpangkalan di Incheon, Korea

Tambah beliau, WIFIdx adalah bertujuan untuk memupuk program keusahawanan wanita di Asia dan Pasifik melalui pembangunan kapasiti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Dalam majlis sama pada hari ini, turut diadakan penyampaian Cek Cura sebagai simbolik penyerahan sumbangan yang berjumlah RM1,762,213.60 yang merupakan sumbangan oleh Etiqa Family Takaful Berhad, Tabung Haji Negeri Terengganu, MAIDAM, MBSB Bank Berhad, Maybank Islamic Berhad, PETRONAS, Bank Rakyat, Maybank Islamic Berhad Kuala Terengganu dan RHB Bank Berhad.

"Sumbangan dari pelbagai agensi dan syarikat korporat adalah dalam pelbagai bentuk seperti dana zakat, bantuan pendidikan dan juga geran projek.

"Semua ini bagi mendokong keperluan pendidikan dan pembangunan pelajar di UMT," katanya.