• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

UMT Terima 416 Pelajar Baharu

KUALA NERUS, 23 Julai- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerima kemasukan 416 pelajar baharu program Asasi dan Diploma bagi sesi 2024/2025.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Menjalankan Fungsi Naib Canselor UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, jumlah itu mewakili pecahan 337 orang pelajar program Asasi STEM manakala 79 orang bagi mengikuti program pengajian jurusan Diloma Perikanan.

Katanya, mahasiswa perlu bertekad dan beriltizam dalam menimba ilmu bagi membalas jasa serta harapan ibu bapa dan seterusnya menyumbang kepada negara.

“Sebagai golongan terpelajar, anda dipandang dan diletakkan pada kedudukan tinggi oleh masyarakat. Masyarakat mengharapkan anda menjadi pewaris kepimpinan, peneraju ekonomi, pencipta ilmu dan teknologi, ejen perpaduan dan perubahan serta sumber modal insan dalam pembangunan negara. 

“Justeru, tugas anda adalah membalas harapan mereka dengan sebaik mungkin dengan menyemai bakti demi keutuhan agama, bangsa dan negara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Ikrar Pelajar sempena Minggu Jalinan Mesra 2024/2025 yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail, UMT.

Sesi pendaftaran pelajar baharu sesi 2024/2025 turut menyaksikan wakil kaum orang asli yang berjaya menerima tawaran melanjutkan pengajian ke UMT.

Mohd Irwanshah Zainal, 17, bersyukur atas tawaran melanjutkan pengajian di UMT bagi sesi ini.

“Sebagai pelajar dari kaum orang asli, saya amat berbangga dan saya mahu buktikan bahawa kaum orang asli turut boleh cipta kejayaan setanding dengan kaum-kaum lain di negara ini. Saya berharap kejayaan ini dapat menjadi inspirasi kepada rakan-rakan dari komuniti saya untuk terus berusaha mencapai impian mereka”

“Terima kasih UMT kerana memberi peluang kepada saya untuk melanjutkan pengajian di UMT dan saya akan manfaatkan peluang ini sebaiknya, insyaAllah,” katanya yang berasal dari Pontian, Johor.

Irwanshah antara tiga orang pelajar mewakili kaum orang asli yang berjaya bersaing dengan ribuan calon lepasan SPM untuk menyambung pengajian di UMT dalam jurusan yang berlainan.


Tag: