UniSZA Anjur Kempen Generasi Muda Bebas Rokok & Vape

KUALA TERENGGANU, 3 Ogos – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah menganjurkan program ‘Generasi Muda Bebas Rokok & Vape’ bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat sekitar tentang bahaya rokok dan rokok elektronik di Fakulti Perubatan UniSZA., baru-baru ini.

Menurut pengarah program berkenaan, Amira Fayiza Abdul Rashid, antara objektif yang ditekankan ialah kesedaran untuk berhenti merokok di samping mempromosikan polisi ‘Generasi Penamat’.  

“Pihak kami telah menjalankan kajian di sekitar Kampung Pantai Batu Buruk dan Kampung Ladang untuk memperkenalkan dan mendapatkan maklum balas daripada penduduk di situ berkenaan polisi ini. 

“Laporan hasil daripada kajian tersebut telah dipamerkan dan dibentangkan dalam program ini serta akan menjadi asas kepada pelajar yang lain untuk menyambung kajian ini dengan lebih mendalam pada masa akan datang,” katanya.

Pameran hasil kajian sokongan komuniti terhadap polisi 'Generasi Penamat'

Beliau yang merupakan salah seorang penuntut di UniSZA turut berharap agar kempen ini dapat dipergiatkan lagi agar polisi ‘Generasi Penamat’ dapat menjadi perhatian masyarakat dalam negara dengan lebih meluas.

Selain kempen, program yang diadakan turut diisi dengan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma, derma darah, pameran informasi kesihatan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), forum bersama pakar dan aktiviti serta pertandingan untuk kanak-kanak.

Penutup program tersebut telah disempurnakan isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr. Farhaana Husainy Hasbullah.