KUALA NERUS, 23 Oktober – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melalui Fakulti Biosumber dan Industri Makanan (FBIM) telah menjalinkan kerjasama dengan beberapa institusi penyelidikan dan pengajian tinggi berpusat di Mexico dalam memfokuskan bidang pembiakbakaan jagung.
Menerusi satu kenyataan, antara institusi yang menyertai adalah daripada industri utama yang terlibat dalam pembangunan biji benih dan penyelidikan berkaitan jagung di dunia.
“The International Maize and Wheat Improvement Center (CIMMYT), Colegio de Postgraduados en Ciencias Agricolas (COLPOS) dan Universidad de Guadalajara dan Pengarah Green World Genetics (GWG) yang telah berbincang sekali sejak bulan September lalu.
“Kerjasama ini adalah melibatkan penyelidikan dan pembelajaran bagi meningkatkan pengetahuan dan skil dalam bidang pembiakbakaan tumbuhan terutamanya jagung dan beberapa jenis tanaman lain.
“Antara aktiviti yang dirancang oleh kedua-dua pihak adalah sesi perkongsian pengetahuan melalui webinar antara pakar bidang daripada kedua-dua negara, perkongsian budaya Malaysia dan Mexico, latihan kepada staf dan pelajar,” katanya menerusi laman web rasmi UniSZA.
Tambahnya, kolaborasi berkaitan dengan pembiakbakaan tumbuhan, penanaman benih jagung yang akan dibekalkan oleh pihak CIMMYT di ladang UniSZA serta pembangunan bank biji benih jagung di Malaysia dengan kerjasama industri iaitu Green World Genetics (GWG).
“Semoga kerjasama ini akan berterusan dan dapat membantu pihak FBIM untuk meningkatkan pengetahuan dan teknik dalam bidang pembiakbakaan tumbuhan di disamping menjadi salah satu hub rujukan dalam bidang pertanian di pantai timur.