• 18 Sept 2024 | 14 Rabiul Awal 1446

Untung Tiga Tahun Berturut-turut, Terengganu Inc Sasar Pendapatan RM1.8 Bilion

KUALA TERENGGANU, 12 September - Selepas merekodkan prestasi memberangsangkan selama tiga tahun berturut-turut, syarikat pelaburan induk strategik Kerajaan Terengganu, Kumpulan Terengganu Inc menyasar pendapatan sebanyak RM1.8 bilion pada tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sasaran itu ditingkatkan 24 peratus iaitu RM358 juta lebih tinggi berbanding tahun lalu susulan pencapaian keseluruhan kumpulan tersebut menunjukkan peningkatan bermula dari tahun 2018.

“Pendapatan pada tahun 2018 adalah sebanyak RM964 juta dan pada tahun 2023 telah meningkat kepada RM1.5 bilion, peningkatan 58 peratus. 

“Pada tahun 2018, kerugian sebelum cukai sebanyak RM43 juta telah bertukar kepada keuntungan sebelum cukai sebanyak RM78 juta pada tahun 2021, RM76 juta 2022 dan RM46 juta pada 2023.

“Bagi tahun 2024 ini, Kumpulan Terengganu Inc menyasarkan pendapatan sebanyak RM1.8 bilion dengan keuntungan sebelum cukai dianggarkan akan mencecah RM100 juta,” kata pengerusi syarikat induk pelaburan milik kerajaan negeri itu. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena Program Latihan Korporat Lembaga Pengarah Syarikat Kumpulan Terengganu Inc, di Kuala Terengganu, kelmarin.

Bergerak ke hadapan, Terengganu Inc telah dan akan mengambil beberapa langkah signifikan untuk memastikan keuntungan tersebut berterusan.

“Antaranya kita akan mengurangkan kebergantungan kepada tanaman kelapa sawit dengan tidak menambah kawasan tanaman baharu. Terengganu Inc akan memperkenalkan langkah penambahbaikan dalam operasi dan peningkatan kecekapan di ladang sedia ada.

“Kita juga bersungguh-sungguh mengusahakan program Carbon Credit unntuk menjana hasil baharu kepada kerajaan. Setakat ini Terengganu Inc telah mengadakan perbincangan dengan PETRONAS dan kita dalam proses mewujudkan dua projek rintis dalam merealisasikan sumber pendapatan baharu,” katanya.

Jelas Ahmad Samsuri lagi, sektor penjagaan kesihatan juga sedang dikembangkan susulan kadar pertumbuhan yang tinggi sejak tiga tahun lalu.

“Pendapatan dijangka mencecah RM900 juta pada 2030 berbanding lebih RM300 juta yang dicatatkan ketika ini.

“Selain itu, ada satu projek bernilai RM1.5 bilion yang boleh dilaksanakan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC)…yang saya tidak boleh sebut lagi. Insya-Allah mempunyai potensi yang tinggi untuk memperoleh projek berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, jika semua berjalan lancar, ia akan melonjakkan prestasi dan keuntungan Terengganu Inc sekali gus memberi banyak manfaat kepada rakyat melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).


Tag: