Berita :
UPDI Hargai Peranan Media, Perkukuh Hebahan Maklumat Negeri
UPDI Hargai Peranan Media, Perkukuh Hebahan Maklumat Negeri
Rohayati Ripin
5 jam yang lepas
64

KUALA TERENGGANU, 18 Mac — Peranan media dan pempengaruh dalam menyampaikan maklumat tepat dan membina imej Terengganu terus diperkukuh menerusi penganjuran majlis penghargaan yang menghimpunkan penggiat penerangan negeri.

Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Harun Esa berkata, majlis tersebut bukan sekadar berbuka puasa, sebaliknya sebagai tanda penghargaan kepada semua penggiat media yang selama ini berperanan menyampaikan berita dan maklumat kepada masyarakat.

“Sebahagian daripada imej negeri yang dikenali sebagai negeri bahagia hari ini adalah hasil penulisan dan kandungan yang dihasilkan oleh rakan-rakan media,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Berbuka Puasa Bersama Media dan Pempengaruh 2026, di Permai Hotel, semalam.

Menurut beliau, menjelang sambutan Aidilfitri, antara isu utama yang sering dibangkitkan ialah berkaitan bantuan kepada rakyat, melibatkan pelbagai saluran dan golongan sasaran.

Katanya, warga media mempunyai kelebihan untuk memahami realiti sebenar di lapangan, termasuk usaha kerajaan negeri dan pimpinan yang turun padang membantu rakyat.

“Sumbangan GLC yang diberikan bukan sahaja kepada pelajar dan anak yatim, malah merangkumi semua lapisan masyarakat. 

"Malah, pimpinan negeri sendiri turun ke rumah rakyat bagi melihat keperluan mereka,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap media, wartawan dan pempengaruh dapat terus memainkan peranan dalam memperluaskan hebahan berita, khususnya melalui platform rasmi seperti TRDI.

Dalam masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk agensi kerajaan, syarikat dan penyedia perkhidmatan yang menyumbang kepada kejayaan program penerangan di negeri ini.

“Kerjasama erat ini penting bagi memastikan maklumat dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada rakyat,” katanya.

Beliau turut berharap kerjasama harmoni antara semua pihak dapat diteruskan dalam memperkukuh penyampaian maklumat demi kesejahteraan masyarakat.

“Semoga segala usaha ini diberkati dan memberi manfaat bukan sahaja di dunia, tetapi juga di akhirat,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau amat menghargai komitmen semua pihak yang terus bersama menyokong dan menjayakan ruang kebersamaan antara kerajaan dan penggiat media.

Menurutnya, media dan pempengaruh memainkan peranan besar dalam menyampaikan maklumat yang sahih, sekali gus membantu membentuk kefahaman masyarakat terhadap dasar serta usaha kerajaan negeri.

“Sesungguhnya peranan media dan pempengaruh sangat penting untuk menyampaikan maklumat yang tepat, membina kefahaman masyarakat serta menyuburkan suasana yang harmoni dan matang dalam negeri kita,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakan media, pempengaruh dan keluarga mereka.

“Semoga Aidilfitri kali ini membawa keberkatan, ketenangan dan kebahagiaan buat semua,” tambah beliau.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan