• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

Usahawan Bumiputera Perlu Rebut Peluang Ekonomi Digital

KUALA TERENGGANU, 25 Julai- Komuniti perniagaan Melayu di Terengganu perlu merebut peluang daripada revolusi ekonomi digital yang berpotensi besar melonjakkan pendapatan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, ekonomi digital dan revolusi industri 4.0 (IR 4.0) yang menjadi tumpuan sektor perniagaan menyediakan peluang luas buat usahawan bumiputera meneroka pasaran tanpa modal besar tetapi mampu menjana pulangan tinggi.

Katanya, sektor berkenaan bukan hanya menyediakan pasaran lebih luas, malah boleh diusahakan di mana jua lokasi dengan syarat mempunyai akses internet yang stabil.

“Apabila ekonomi berubah ke dunia digital, kita kena lebih peka apa yang berlaku secara dalam talian dan sebagai usahawan, kita perlu bersedia dari segi minda untuk melakukan perubahan.

“Selain ekonomi digital, negeri kita juga mempunyai banyak peluang lain yang boleh diterokai usahawan contohnya teknologi hijau yang melibatkan industri silika bermutu tinggi.

“Walaupun sektor tersebut melibatkan pelaburan agak besar itu tugas kerajaan untuk mencari pelabur dan sebagainya, tetapi kita sebagai usahawan perlu bersedia menyambut apa yang dibangunkan kerajaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Kolokium Usahawan Melayu anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Terengganu (DPPMT) di Hotel Grand Puteri di sini, hari ini.

Dalam ucapannya, Nurkhuzaini turut merakamkan penghargaan kepada DPPMT atas inisiatif menganjurkan kolukium yang dapat menghimpunkan suara usahawan dari pelbagai sektor ekonomi.

“Semoga DPPMT berupaya meneruskan misinya dalam memperjuangkan usahawan Melayu di negeri ini,” ujarnya.

Sementara itu katanya, kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan untuk memastikan usahawan Melayu terus berdaya maju serta dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri.

“Antaranya menyediakan peluang perniagaan, sokongan, pemberian insentif disamping bimbingan, khidmat nasihat dan lain-lain,” katanya.

Tambah beliau, selain usaha gigih kerajaan untuk membangunkan usahawan Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS), usahawan sendiri perlu berusaha meningkatkan keupayaan bersaing mereka.

“Gabungan dan kerjasama antara mereka perlu diteruskan dengan meningkatkan kerjasama dan saling bantu membantu terutama di antara yang telah maju dan kurang maju,” ujarnya.