Usahawan Diseru Rebut Tabung Usahawan RM10 Juta

KUALA TERENGGANU, 21 Disember – Kerajaan negeri menyasarkan jumlah penerima bantuan dan manfaat usahawan seramai 800 orang dalam membantu warga niaga di Terengganu bangkit kembali dalam zaman pasca COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, usaha itu ditumpukan pihaknya memandangkan peningkatan sekali ganda Bajet 2022 kepada RM10 juta dibawah portfolionya.

“Alhamdullilah, sepanjang tiga tahun (2019-2021) peningkatan usahawan yang dibantu seperti melalui Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) mencecah lebih 400 orang, kita telah santuni empat kali ganda lebih berbanding pentadbiran lepas.

“Maka dengan peningkatan bajet kepada Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dan Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC), kita perlu pastikan insentif ini turun kepada usahawan kita.

“Khususnya apabila pandemik merudum, ramai akan berpusu-pusu mencari suntingan kerajaan, jadi kita bergerak proaktif dengan pelbagai pihak seperti kerjasama strategik dengan Bank Islam Malaysia menerusi Program Pembiayaan Mikro Bangkit (BangKIT),” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam program Pembentangan Program & Aktiviti Tahun 2022 Di Bawah Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro Dan Hal Ehwal Pengguna di Hotel Seri Pacific, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalannya, Wan Hapandi Wan Nik dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC), Aminuddin Omar.

Jelas Nurkhuzaini, pihaknya turut menyediakan segmen berbeza dibawah TUGAS bagi memastikan golongan sasar tidak tercicir daripada mendapat suntikan dana.

“Antara contoh seperti Tabung Siti khadijah (TSK), Skim Pembiayaan Atas Talian Terengganu (SPINT), Dana Prihatin Terengganu - OKU (D-HATI) dan lain- lain lagi.

“Ini meningkatkan lagi peluang bagi golongan terpilih tersebut berbanding jika kita longgokkan semua orang dalam satu tabung,” katanya lagi.

Tambahnya, dengan pelaksanaan tabung usahawan bernilai RM10 juta tersebut, ia juga merealisasikan satu lagi janji manifesto Kerajaan Negeri yang bakal dilaksanakan tahun hadapan.

Bagi yang berminat untuk memohon pembiayaan yang disediakan khas dibawah Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS) boleh klik pada link yang tertera di bawah:

1) Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan Terengganu (SP3T)
bit.ly/SkimPembiayaanSP3T-TSK-DUNIA

2) Tabung Siti khadijah (TSK)
bit.ly/SkimPembiayaanSP3T-TSK-DUNIA

3) Skim Pembiayaan Atas Talian Terengganu (SPINT)
bit.ly/SkimPembiayaanAtasTalianSPINT

4) Skim Pembiayaan 'Mobile Truck' (SPMT)
bit.ly/SkimPembiayaanMobileTruckSPMT

5) Skim Dana Usahawan Asas Tani (DUNIA)
bit.ly/SkimPembiayaanSP3T-TSK-DUNIA

6) Dana Prihatin Terengganu - OKU (D-HATI)
bit.ly/DanaPrihatinTerengganuOkuDHATI

Bagi yang belum mendaftar sebagai Sahabat Usahawan Terengganu, sila klik link dibawah:
http://bit.ly/DaftarSahabatUsahawanYPU