Pentadbiran Masjid Perlu Lapor Jika Ada Ajaran Meragukan - Sultan Mizan
KUALA TERENGGANU, 23 November - Usahawan Terengganu digesa mengambil peluang bagi memasarkan produk halal yang berkualiti ke peringkat antarabangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Ariffin Deraman berkata, kesempatan itu boleh diambil usahawan mikro negeri ini kerana Malaysia memiliki reputasi yang baik sebagai pengeluar produk halal berkualiti.
"Kebolehpasaran dan penguatkuasaan produk halal ke pasaran luar memegang peranan kritikal dalam meningkatkan daya saing industri halal di peringkat global.
"Dalam konteks pasaran global produk halal yang berkembang pesat, Malaysia sebagai negara dengan populasi penduduk Islam mempunyai peluang besar untuk menjadi pemain utama (industri halal).
"Populasi orang Islam di seluruh dunia juga yang semakin meningkat, dijangka mencapai 2.3 bilion pada tahun 2030, membuka pintu lebar menjadikan Malaysia sebagai pelopor pasaran halal yang sangat besar," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Seminar Pemantapan Eksekutif Halal Negeri Terengganu 2023, di Hotel Tanjung Vista, di sini, semalam.
Mengulas mengenai seminar berkenaan, Ariffin berkata ia merupakan rentetan dari Seminar Eksekutif Halal yang dibuat sebelum ini dan membincangkan pelbagai isu yang juga kerap timbul berkenaan kebolehpasaran produk halal di negeri ini secara khususnya yang dianjurkan Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.
"Seminar ini bertujuan memberi pendedahan kepada usahawan dan agensi pembimbing tentang perkembangan isu semasa berkaiatan halal.
"Selain itu ia juga bertujuan untuk membuka mata dan memberikan sudut pandang baru dalam kalangan usahawan mengenai potensi kebolehpasaran produk halal (negeri ini) ke pasaran luar," katanya.
Ujarnya lagi, topik yang disentuh dalam seminar berkenaan mengenai 'Peranan Eksekutif Halal Dalam Pemerkasaan Pasaran Halal' dan 'Potensi Kebolehpasaran dan Penguatkuasaan Produk Halal Ke Pasaran Luar'.
"Kedua-dua perbincangan ini bertepatan dengan pertumbuhan pesat produk halal di peringkat antarabangsa," katanya.t