• 12 Okt 2024 | 09 Rabiul Akhir 1446

Usahawan Terengganu Disaran Terokai Pasaran Luar Negara

KUALA TERENGGANU, 11 Oktober- Usahawan bumiputera di negeri ini disaran menerokai dan memperluaskan perniagaan sehingga dapat menembusi pasaran luar negara yang dilihat mempunyai potensi besar.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Arifin Deraman berkata, usahawan tidak perlu mengehadkan fikiran mereka dalam persekitaran negara sahaja kerana mereka perlu melihat dunia luar dan kemampuan untuk bersaing di peringkat rantau dan global.

“Sebagai contoh, syarikat pengedar dan pengeluar makanan berasaskan tepung milik Bumiputera di daerah ini iaitu Muslim Food Industries (MFI) yang telah bertapak di negeri ini sejak lebih sedekad lalu kini semakin berkembang maju.

 “Saya yakin dan optimis MFI yang telah berjaya mengusai pasaran semenanjung dapat melangkah lebih jauh sehingga boleh eksport produk keluaran mereka ke luar negara ditambah dengan penggunaan teknologi dan inovasi baharu oleh syarikat terbabit,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke kilang MFI bersama Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), semalam.

Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri ingin melihat lebih banyak usahawan dan syarikat bumiputera yang berjaya dan dapat bersaing di pasaran global sekali gus akan memberikan sumbangan positif kepada pembangunan ekonomi negeri.

“Malah kerajaan negeri melalui YPU menyediakan pelbagai pembiayaan selain khidmat nasihat bagi membantu usahawan mengembangkan perniagaan mereka,” ujarnya.