Usia dan Kesibukan Kerja Bukan Penghalang Genggam PhD
KUALA NERUS, 22 Oktober – Meskipun ayahnya sudah tiada di dunia, Dr. Abdullah Sulaiman tetap menunaikan impian arwah yang mahu melihatnya belajar sehingga ke peringkat tertinggi.
Beliau yang baru sahaja mendapat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Kali Ke-21 di sini meluahkan rasa terharu dan syukur.
Abdullah, 54, berasal dari Pasir Mas, Kelantan menyifatkan pengorbanan menyambung pengajian ke peringkat tertinggi demi menyahut cita-citanya sejak dibangku sekolah selain menunaikan hasrat ibu dan arwah ayah untuk mengubah nasib keluarga melalui pendidikan.
"Ayah hanya seorang penoreh getah dan ibu, Siti Jarah Che Jusoh pula menjadi guru al-Quran di kampung. Hidup memang sudah umpama 'kais pagi, makan pagi dan kais petang, makan petang'...makan bercatu itu sudah menjadi lumrah kami sekeluarga.
“Kami ingat pesanan ayah yang menggalakkan kami untuk belajar setinggi yang mungkin.. katanya pelajaran boleh mengubah nasib hidup sebab itu walaupun terpaksa menelaah menggunakan pelita ayam dan mandi perigi serta makan bercatu, ayah tetap tak nak kami adik beradik keciciran dalam pelajaran.
“Tiap pagi bangun sebelum subuh membawa pelita ayam ke perigi untuk mandi. Bergilir-gilir sehingga kesemuanya selesai mandi barulah balik ke rumah. Itulah rutin harian kami setiap hari sebelum ke sekolah. Waktu tu kampung saya masih belum ada bekalan elektrik dan air sehinggalah pada tahun 1984 semasa saya di tingkatan tiga,”ujarnya.
Tambahnya, jika arwah ayah mereka masih hidup, pasti dia tersenyum bangga melihat kami lapan beradik akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke menara gading. Dua antaranya berjaya melanjutkan pengajian ke United Kingdom dan Amerika Syarikat.
"Saya harap kejayaan ini dapat dijadikan inspirasi kepada golongan miskin di luar sana agar tidak mudah berputus asa dalam mengejar impian mereka.
“Dengan ilmu kita mampu mengubah nasib keluarga”, ujar bapa kepada tujuh orang anak ini
Beliau yang juga Timbalan Ketua Pengarah di Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) berpegang teguh kepada prinsip ‘Tuntutlah ilmu hingga ke negeri China’.
Berpengalaman dalam bidang geologi selama 30 tahun serta mempunyai kepakaran dalam geologi marin selama 25 tahun, kepakaran Abdullah diangkat oleh UMT dengan melantikknya sebagai Profesor Adjung UMT pada Januari 2022 dan ditempatkan di Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS).
Abdullah kini merupakan Ahli Geologi profesional dan membawa gelaran Professional Geologist (P.Geol).
Antara sumbangan beliau ialah melalui kerjasama JMG dan UMT pada tahun 2019 hingga tertubuhnya jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Geosains Marin) yang pertama di Malaysia dan Asia Tenggara.