• 07 Nov 2024 | 05 Jamadil Awal 1446

Wan Hassan Sangkal Tuduhan Jahat Presiden UMNO

KUALA TERENGGANU, 31 Julai - Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli menafikan sekeras-kerasnya berhubung tiga perkara yang dibangkitkan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu video dan menyifatkannya sebagai tuduhan fitnah.

Dalam video tersebut, Ahmad Zahid mendakwa Wan Hassan menaiki kapal terbang bersamanya bagi melawat mangsa banjir di Dungun, memakai pakaian tidak sesuai ketika menyantuni mangsa banjir serta dakwaan Wan Hassan ahli Umno.

Wan Hassan menegaskan ketiga-tiga tuduhan yang dinyatakan Presiden Umno itu adalah tidak berasas dan pembohongan secara terang-terangan.

"Kalau perkara sekecil ini pun kita dapati sudah tidak betul, bagaimana dalam perkara-perkara yang lebih besar.

 “Saya nafikan sekeras-kerasnya tidak pernah saya bercakap dengan Ahmad Zahid berkait dengan urusan banjir di Dungun dan saya tidak naik kapal terbang bersama dengannya.

“Mengenai pakaian pula, saya turun ke kawasan banjir, menyantuni mangsa banjir dan juga menyampaikan sumbangan dengan pakaian yang layak untuk berada di kawasan dan tempat banjir,” ujarnya.

Katanya, beliau merupakan ahli PAS tulen dan pernah menjawat beberapa jawatan penting di bawah pentadbiran PAS termasuk sebagai Exco Kerajaan Negeri Terengganu pada tahun 1999

“Pada tahun 2008 saya dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura serta tahun 2013, 2018 serta 2022 Ahli Parlimen Dungun,” jelasnya.