KUALA TERENGGANU, 15 September – Para peserta kursus jahitan sulam tampal yang terdiri daripada wanita berpendapatan rendah (B40) di sekitar daerah ini sudah tidak sabar untuk memulakan pembelajaran mereka.
Kursus anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Nor itu dilaksanakan di bawah inisiatif Pelan Jana Semula Negara ‘Human Resources Development Fund’ (PENJANA HRDF) dan akan memberi manfaat kepada individu untuk jualan secara atas talian.
Wakil Richmind Legacy Sdn Bhd (penyedia latihan), Zuraina Ahmad berkata program ini dinamakan sebagai program jahitan ‘patchwork’ ataupun tampal cantum yang tidak memerlukan sebarang modal.
“Kita hanya menggunakan kain perca yang sedia ada seperti lebihan-lebihan kain jahitan dan kemudian dijadikan satu produk yang baru seperti beg ataupun kotak pensil, beg sandang, bakul dan sebagainya.
“Produk-produk ini boleh dijual dengan harga yang sangat tinggi, jadi kita berharap kemahiran baharu yang dipelajari oleh wanita B40 Kuala Terengganu ini dapat digunakan untuk menjana pendapatan dengan lebih lumayan kerana produk-produk ini dapat dijual dengan harga yang jauh lebih tinggi walaupun tanpa menggunakan modal.
“Wanita-wanita ini asalnya sudah mempunyai kemahiran menjahit, jadi apa yang dilakukan ialah menambah kemahiran menjahit ke satu tahap yang baru,” ujarnya.
Zuraina berkata demikian ketika ditemui oleh pemberita selepas Majlis Perasmian Kursus Jahitan Sulam Tampal Untuk Jualan Secara Online Bagi Program Pembangunan B40 Daerah Kuala Terengganu di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Wakaf Mempelam semalam.
Turut hadir, Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Wan Mohd Zaki Wan Abdullah, serta Pengarah Urusan Richmind Legacy Sdn Bhd, Ahmad Jafny Jusoh.
Menurut Zuraina lagi, daerah Kuala Terengganu adalah ‘pilot programme’ (program pertama) yang dijalankan.
Katanya, kejayaan program tersebut akan menjadi kayu ukur untuk dipertimbang dan dikembangkan ke daerah-daerah dan negeri lain.
“Kami menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu terutamanya kepada ADUN Wanita yang menyambut baik program ini dan sebenarnya idea ini sudah lama, tetapi tidak dapat dilaksanakan sebaliknya kali ini, ADUN Wanita telah membantu merealisasikannya.
“Pihak mereka banyak membantu kami dari segi untuk mendapatkan dan mengenal pasti peserta yang layak sebab kita tahu, golongan B40 ini ramai tapi kita sasarkan golongan yang betul-betul memerlukan untuk dibantu, tambahnya lagi.
Beliau turut melahirkan harapan agar peserta dapat belajar dengan bersungguh-sungguh di samping dapat dilatih sebagai usahawan wanita yang boleh menjana pendapatan sendiri untuk keluarga tanpa perlu mengharapkan orang lain.