KUALA TERENGGANU, 5 Oktober - Terperangkap dengan rutin sama, kepenatan fizikal, mental dan emosi yang tidak diuruskan dengan baik boleh menyumbang ke arah tekanan dalam kalangan suri rumah.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Zuraida Md. Noor berkata, kesihatan mental di kalangan suri rumah perlu diberi perhatian kerana boleh mendatangkan bahaya sekiranya tidak dibendung dari awal.
“Realitinya, tugas menguruskan rumah tangga seperti memasak, membasuh baju, mengemas dan menguruskan anak tidak pernah selesai. Bermula dari bangun tidur sehingga melelapkan mata di malam hari.
“Justeru, suri rumah perlu membina sistem sokongan yang positif sesama mereka contohnya dengan mengikuti program-program yang boleh memberikan motivasi dan ilmu pengetahuan kepada mereka seperti program yang dihadiri hari ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Inspirasi Suri Sejahtera (Wanita Ceria Keluarga Bahagia) anjuran Urus Setia Wanita Negeri Terengganu (USWa) di Dewan Yayasan Pembangunan Keluarga, disini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah USWa, Wan Nur Sakinah Din.
Mengulas lanjut katanya, untuk menangani gejala gangguan mental seseorang itu perlu menjaga hubungan dengan Allah.
“Selain itu, antara langkah lain untuk memupuk kesihatan mental juga perlu kepada penjagaan kesihatan yang optimum, mengambil pemakanan yang seimbang lagi halal serta melakukan aktiviti riadah seperti bersenam,” ujarnya.
Katanya, pandai memilih kawan dan sentiasa berada dalam kelompok yang positif juga boleh menghindarkan suri rumah dari tekanan menguruskan rumah tangga.
“Bersama-sama kita jaga kesihatan kita baik dari segi fizikal mahupun mental supaya dapat menjadikan kita sebagai seorang mukmin yang kuat,” ujarnya.
Tambah beliau, sistem sokongan yang paling utama untuk seorang suri rumah adalah suami dan ahli keluarga terdekat yang sentiasa perlu prihatin kepada keperluan suri rumah dan menghargai peranan mereka yang sebenarnya sangat besar dalam membina keluarga yang bahagia,” ujarnya.