Warga Singapura Teruja Sikap Muafakat Laksana Korban Di Terengganu
Warga Singapura yang menyertai program Ibadat Korban D'Terengganu teruja apabila pertama kali dapat melihat ibadat korban dilakukan secara tradisional.
Seorang daripada 38 peserta, Hawa Samad, 70, berkata walaupun kali ketiga datang ke Terengganu, beliau mendapat pengalaman baru apabila berpeluang menyertai program tersebut bersama masyarakat Islam di sini.
"Ini merupakan kali pertama saya lihat penyembelihan lembu sebagai haiwan korban kerana di tempat kami menyembelih kambing.
"Cara di sini sangat berbeza seperti di Singapura. Di sini caranya lebih tradisional manakala di sana pihak berkuasa sentiasa memantau penyembelihan dilakukan," katanya kepada Teganukita.
Hawa Samad |
Tambahnya, beliau amat tertarik dengan budaya muafakat yang diamalkan masyarakat Islam Terengganu dan ianya nyata sangat berbeza di Singapura.
"Masyarakat di sini masih kuat dengan semangat gotong- royong. Kami di Singapura sudah tidak lagi mengamalkan konsep sedemikian," katanya.
Bagi wakil dari Group Jalaluddin Travel & Services Singapura, Eliya Abd Rahman berkata, progran anjuran Kerajaan Negeri Terengganu ini merupakan pengalaman baru buat beliau.
"Sebelum ini, agensi kami hanya ke Indonesia dan Vietnam. Ini merupakan kali pertama kami ke Terengganu.
"Melalui program ini, kami diperkenalkan dengan budaya dan kehidupan masyarakat di Terengganu dan amat teruja dapat mengenali budaya serta sempat menikmati juadah utama, nasi dagang di sini," katanya
Eliya Abd Rahman |
Eliya berkata, agensi beliau merancang untuk kembali menyertai program tersebut dengan bilangan peserta lebih ramai pada tahun hadapan.
Program Ibadat Korban D'Terengganu yang mengumpulkan seramai 38 peserta dari Singapura selama empat hari bermula 9 September adalah hasil inisiatif oleh kerajaan negeri semasa mengadakan Beautiful Terengganu di Singapura pada Ogos lalu.
Selain dari menyertai ibadah korban di Terengganu, pelancong Singapura yang dibawa melalui agensi pelancongan tersebut turut dibawa ke destinasi tumpuan seperti Pasar Kedai Payang, Taman Tamadun Islam dan lain-lain.