KUALA TERENGGANU, 6 Ogos- Seramai 31 kakitangan Yayasan Terengganu yang menunjukkan prestasi cemerlang pada tahun lalu menerima anugerah perkhidmatan cemerlang (APC) masing-masing pada Majlis Apresiasi Dan Jasamu Dikenang Yayasan Terengganu Tahun 2024 yang berlangsung di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, di sini hari ini.
Turut dirai enam orang pengetua cemerlang Sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu serta 19 orang warga kerja yang telah dan akan bersara pada tahun ini.
Pengarahnya, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, penganjuran program itu merupakan medan pengiktirafan terhadap kecemerlangan warga kerja Yayasan Terengganu yang telah menunjukkan dedikasi, kesungguhan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam melaksanakan setiap tugasan diamanahkan.
“Semoga pengiktirafan ini akan menyuntik semangat untuk bekerja dengan lebih tekun dan cemerlang serta menjadi inspirasi kepada rakan sekerja yang lain,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Apresiasi Dan Jasamu Dikenang Yayasan Terengganu Tahun 2024 yang telah disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, sebagai penjawat awam, kakitangan Yayasan Terengganu merupakan tonggak utama kepada pembangunan negeri khususnya dalam bidang pendidikan.
“Pelbagai kejayaan serta kecemerlangan dilakar telah menjadikan ekspektasi rakyat dan pemegang taruh terhadap Yayasan Terengganu kini semakin tinggi.
“Keadaan ini memerlukan kita sentiasa peka terhadap tuntutan perubahan semasa, melaksanakan tugas dengan cekap serta membuat pembaharuan yang berterusan bagi memastikan sentiasa kekal relevan dan responsif,” ujarnya.
Justeru katanya, warga kerja Yayasan Terengganu diingatkan agar menjauhi elemen negatif yang boleh merosakkan nama baik serta kredibiliti organisasi yang telah dibina sekian lama sebaliknya terus berusaha mengharumkan nama sehingga ke mata dunia.