Berita :
YB, Anak Syarikat Belanja Keluarga B40 Baju Raya
YB, Anak Syarikat Belanja Keluarga B40 Baju Raya
Mohamad Farhan Anam
1 jam yang lepas
37

KUALA TERENGGANU, 7 Mac — Seramai 150 keluarga dikenal pasti sebagai penerima manfaat dalam Program Sentuhan Kasih Ramadan yang dianjurkan bagi menyantuni golongan memerlukan di kawasan DUN Ladang.

ADUN Ladang, Zuraida Md Noor, berkata program tersebut bukan sekadar majlis berbuka puasa, sebaliknya satu inisiatif kebajikan bagi menggembirakan anak-anak serta keluarga menjelang sambutan Aidilfitri.

Menurut beliau, antara pengisian program tahun ini ialah membawa anak-anak berumur antara tujuh hingga 15 tahun membeli pakaian raya di Mydin Mall Kuala Terengganu agar mereka dapat memilih sendiri pakaian yang disukai.


“Pada petang pula kita bersama-sama berbuka puasa di Primula Beach Hotel dalam suasana penuh ukhuwah dan kegembiraan. Inilah roh sebenar Ramadan, bukan sahaja menahan lapar dan dahaga, tetapi memperbanyakkan sedekah serta memastikan tiada yang tercicir daripada merasai kegembiraan Aidilfitri,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para penaja yang menjayakan program tersebut, antaranya Persatuan Pengusaha Pelancongan Negeri Terengganu, NGO IMAN Care dan EPIC Berhad.


Zuraida berkata, EPIC Berhad sebelum ini turut menaja seramai 30 pelajar membeli pakaian raya di Jakel sebagai sebahagian daripada usaha membantu keluarga memerlukan.


Selain itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Daerah Kuala Terengganu yang membantu dalam penyelarasan program serta Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu yang menyediakan bas sebagai pengangkutan anak-anak terlibat.

Dalam masa sama, beliau mengucapkan tahniah kepada Pegawai Daerah Kuala Terengganu dan para penghulu atas kejayaan meraih tempat kedua dalam Program Pelita Raya yang berakhir malam tadi.

“Semoga sumbangan kecil ini memberi kegembiraan kepada anak-anak dan keluarga penerima. Kita mungkin tidak mampu mengubah seluruh kehidupan mereka dalam sehari, tetapi sekurang-kurangnya hari ini kita dapat menghadiahkan senyuman dan harapan kepada mereka,” katanya.


Ketupat

Artikel Berkaitan