YPU Sasar Perniagaan Emas Sebagai Hasil Baharu Terengganu

KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) berhasrat untuk menceburi perniagaan emas secara khusus bagi menjana pendapatan negeri pada masa depan.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman memaklumkan, usaha tersebut sedang dinilai berikutan harga emas yang kini melonjak tertinggi dalam sejarah.

"Pada peringkat awal ini tidaklah, tetapi penglibatan awal adalah untuk mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan fungsi dan tanggungjawab YPU. Sekiranya ia baik untuk kerajaan negeri, pelan ini akan dibentangkan.

"Ketika ini, perniagaan ini diusahakan oleh syarikat Terengganu Metal Ex-Trade Sdn Bhd (TMEx) dan YPU menyokong serta bersetuju menawarkan seorang pegawai kanan sebagai ketua pegawai eksekutif bagi memandu TMEx," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.

ADUN Kota Putera itu turut menjelaskan modal berbayar YPU dalam syarikat itu ialah sebanyak RM1 juta dengan pegangan saham 20 peratus bernilai RM200,000.

Terdahulu, harga emas mencapai harga tertinggi dalam sejarahnya sendiri dan bernilai RM275.51 hari ini, meningkat lagi berbanding RM274.96 semalam.

 

 

 

 

 


Tag: