lightning-solid
Berita :
YPU Tingkat Pemantauan, 97 Peratus Usahawan Belia Terus Kekal Aktif
YPU Tingkat Pemantauan, 97 Peratus Usahawan Belia Terus Kekal Aktif
Mastura Jamal Din
13 Nov 25
53

KUALA TERENGGANU, 13 November — Usaha Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) memperkukuh sistem pemantauan terhadap penerima geran dan pembiayaan terus menunjukkan hasil positif apabila 97 peratus usahawan belia di bawah program Usahawan Belia Sejahtera (U-BES) kekal aktif menjalankan perniagaan.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman, berkata, purata peningkatan jualan bagi peserta program berkenaan turut mencatatkan peningkatan melebihi 15 peratus, menunjukkan keberkesanan bantuan serta bimbingan yang diberikan.

Menurutnya, bagi memastikan setiap usahawan benar-benar mencapai matlamat pembangunan ekonomi yang disasarkan, pemantauan dilaksanakan secara berstruktur dan berterusan melalui beberapa kaedah utama termasuk lawatan tapak premis perniagaan serta sesi bimbingan dan kaunseling keusahawanan.

“Pegawai YPU sentiasa turun padang menjalankan lawatan ke premis perniagaan bagi menilai keberkesanan penggunaan dana, mengenal pasti cabaran sebenar di lapangan serta memberi khidmat nasihat dan bimbingan bagi memperkukuh pengurusan perniagaan,” ujarnya. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang,  Zuraida Mohd Noor dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga DUN Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Tambahnya, usahawan yang menunjukkan prestasi kurang memuaskan pula akan dibimbing semula melalui program latihan, mentoring dan coaching bagi meningkatkan kecekapan serta daya saing.

"Pendekatan itu bukan sahaja memastikan akauntabiliti terhadap penggunaan dana kerajaan tetapi juga membantu melahirkan usahawan yang lebih berdaya tahan dan berdaya saing dalam pasaran semasa.

"Secara keseluruhannya, prestasi usahawan yang dibantu oleh YPU terus menunjukkan perkembangan positif dengan kadar kutipan bayaran balik pembiayaan mencecah 80 peratus setakat ini,"katanya.




Tag :

Artikel Berkaitan