Zakat Fitrah 2017 ditetapkan Tidak Kurang RM7 di Terengganu


Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menetapkan kadar fitrah bagi tahun ini tidak kurang RM7 setiap orang.

Yang Dipertua Maidam, Dato’ Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, kadar nilaian wang tunai itu dikira berdasarkan kepada harga beras gred Super Tempatan di pasaran setelah mengambil kira nilai bersamaan dengan beras 10 peratus hancur serta lima peratus hancur.

"Kadar fitrah yang ditetapkan dibuat setelah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

“Bagi mana-mana orang yang memakan beras dari jenis Super Import, maka kadar bayarannya adalah senilai dengan kadar beras yang dimakannya iaitu bersamaan 2.60 kilogram atau sukatan 2.97 cupak yang bersamaan satu gantang Baghdad,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pengistiharan Ketetapan Fitrah Bagi Tahun 2017 di Pejabat Maidam, hari ini.

Shaikh Harun berkata, pada tahun ini bayaran fitrah hanya boleh dibuat dengan wang tunai sahaja.

“Untuk membayar fitrah, orang Islam di negeri ini bolehlah membayarnya di mana-mana kaunter bayaran zakat Maidam dari 8.30 pagi hingga 4 petang pada hari bekerja biasa.

“Bagi memberi kemudahan kepada orang ramai, bermula 11 Jun hingga 24 Jun ini, kaunter bayaran zakat Maidam termasuk kaunter di Pusat Transformasi Bandar (UTC) akan dibuka tujuh hari seminggu bermula 8.30 pagi hingga 4 petang,” ujarnya.

Menurut beliau, Maidam turut melantik seramai 1,038 amil pada tahun ini dan mereka akan menjalankan pungutan fitrah serta zakat harta di setiap masjid dan surau.

"Sukacita saya mengingatkan bahawa adalah menjadi kesalahan sekiranya mana-mana orang Islam di negeri ini membayar fitrah atau zakat kepada orang selain Maidam atau wakilnya kerana ia termaktub dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Terengganu 2001," katanya.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Shaikh Harun berkata, jumlah kutipan zakat fitrah tahun ini dijangka meningkat dari tahun sebelumnya.

"Pada tahun lalu, kita mengutip RM6,037,022.45 zakat fitrah mewakili 4.5 peratus daripada jumlah keseluruhan zakat Terengganu yang bernilai RM133,641,272.65,” ujarnya.

Tag: