KUANTAN, 24 November – Pasukan ZBI Keropok Dungun benar-benar mengganas apabila muncul juara Aokmer Futsal League 2025, menewaskan SM FT dengan keputusan 8-5 di Kompleks Yayasan Pahang.
Kapten pasukan, Mohd Syukri Baharuddin, berkongsi kegembiraannya mengenai pencapaian anak-anak buahnya.
Jelasnya, kemenangan tersebut bukan sahaja membuktikan kemampuan pasukan, malah memberi kebanggaan kepada penduduk Dungun yang sentiasa menyokong pasukan itu.
“SM FT memang team paling orang takut kat Kuantan, tapi malam ini anak-anak buah tunjuk semangat luar biasa.
Kita biasa latihan pada malam sahaja, main bersama-sama, tak ada latihan khusus pun, tapi Alhamdulillah hasilnya manis,” ujarnya sambil tersenyum.

Pengurus pasukan, Ruzaidi Abdul Latiff, melahirkan rasa bangga dan bersyukur terhadap pencapaian pemainnya.
“Kita bukan sahaja menang, malah dapat mempromosikan keropok Dungun kita ke luar daerah dan memberi inspirasi kepada pasukan lain.
"Tahniah kepada semua pemain yang berjuang dengan penuh semangat. Ini hasil usaha bersama, dan semangat kekitaan yang kuat dalam pasukan ini,” katanya.
Tambahnya, kejayaan pasukan itu turut dibantu oleh penaja-penaja yang menyokong sejak awal, iaitu ZBI Work sebagai penaja utama, Lovaclo Apparel, ZR Pro Design dan SandraWedding.
"Sumbangan mereka membolehkan pasukan ini tampil dengan lebih bersedia dan berkeyakinan sehingga berjaya meraih kejuaraan.
"Dengan kemenangan ini, ZBI Keropok Dungun bukan sahaja menambah koleksi trofi, tetapi juga berjaya menonjolkan nama Keropok Dungun di peringkat lebih luas, sekali gus memperkukuh promosi produk tempatan melalui sukan," katanya.
