Ziarah ADUN Gembirakan Penduduk


Oleh: Ahmad Syahid Adnan

KEMAMAN, 16 Januari - Dalam kesibukan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili tetap meluangkan masa menziarahi penduduk kampung di kawasan itu.

Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Chabang, Jamarill Ahmad berkata, program ziarah bertemu rakyat dari rumah ke rumah banyak memberi kesan baik kepada rakyat dan juga pihak pimpinan kerajaan sendiri.

"Seingat saya, Ir Saiful Azmi adalah antara ADUN yang tidak putus menjenguk rakyat," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di Program Ziarah ADUN Kemasik ke Kampung Chabang, Kertih, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi MPKK Kampung Chabang, Yusof Ghani.


Pada program ziarah itu, Ir Saiful berkesempatan berkunjung ke rumah seorang warga emas, Muda Md Jin, 66, yang tinggal tidak jauh dengan jalan utama dari Chabang ke Kemasik.

Lebih dikenali dengan panggilan Pok Ya, Muda Md Jin yang mengalami sakit usus menzahirkan kegembiraan dengan kunjungan ADUN Kemasik itu.

"Terima kasih banyak-banyak, YB (Yang Berhormat) kerana sudi menjenguk kami sekeluarga yang kurang bernasib baik ini," kata Pok Ya yang sebelum ini telah menjalani pembedahan di Hospital Kemaman.

Dalam lawatan itu, Ir Saiful turut bertanya khabar menantu Pok Ya yang sarat mengandung dan tinggal bersebelahan dengan rumahnya.

Tag: