Ziarah Bersama Agensi Santuni Rakyat - Zuraida

Zuraida menyampaikan sumbangan kepada Salina di rumahnya di Kampung Rhu Renggeh, Marang.
Oleh:Aslam

MARANG, 12 Januari - Ziarah kebajikan yang diadakan bersama agensi yang berkaitan bertujuan menyantuni rakyat yang memerlukan bantuan terutamanya golongan daif.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Hajah Zuraida Md Noor berkata, gabungan ini sangat bertepatan kerana terdapat agensi-agensi yang cakna berkaitan kebajikan rakyat.

"Kecaknaan ini perlu kerana ianya sangat menyentuh perasaan kerana masih ada insan yang berada dalam keadaan yang tidak dapat saya jangkakan.

"Pelbagai bantuan dapat disalurkan termasuk sumbangan barangan, sokongan dan sebagainya bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi seorang penduduk, Salina Yusof, 37, yang hidup dalam keadaan daif di Kampung Rhu Renggeh, di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pegawai Khas ADUN Rhu Rendang, Wahad Osman, Penyelia Pusat Khidmat Rhu Rendang, Nasarudding Samsudeng, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Rhu Renggeh, Najmudin Rani dan petugas Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Rhu Rendang.

Hadir sama, wakil daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu (MAIDAM) dan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK).

Zuraida berkata, Salina tinggal di rumah yang serba kekurangan di mana keadaan rumahnya separuh telah rosak, tidak beratap serta tiada bekalan elektrik dan air.

Malah katanya, Salina terpaksa menggunakan lampu picit dan memasak di bawah rumah menggunakan dapur kayu kerana ketiadaan dapur.

Tambah Zuraida, selain dari sumbangan daripada orang ramai, Salina juga perlukan bantuan dari segi dalaman.

"Saya nasihatkan beliau supaya dipantau dengan pengisian rohani berdasarkan masalah dan kisah sebenar kehidupannya.

“Beliau perlukan sokongan moral dan motivasi bagi mengubah cara hidup yang tidak sihat di samping suami yang bermasalah.

“Saya mengharapkan satu natijah dan tindakan terbaik dari agensi dan pihak terbabit agar dapat diselesaikan secepat mungkin kerana masalah ini perlu kepada perhatian segera," ujarnya lagi.

Sementara itu, MAIDAM akan menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM250 dan bantuan daripada JKM untuk ibu dan anak secara bulanan termasuk sumbangan berbentuk barangan seperti cadar dan barangan dapur.

Manakala, YPK akan berusaha untuk menawarkan bantuan satu unit rumah di Desa Keluarga, Kuala Terengganu sekiranya ada kekosongan dalam masa terdekat.




Tag: