KUALA LUMPUR, 13 September – Presiden Parti Islam Se-malaysia (PAS), Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menggesa supaya kerajaan mengambil tindakan terhadap kartel-kartel supaya beban rakyat dapat diringankan.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, kerajaan boleh bertindak melalui undang-undang supaya berlaku langkah yang baik.
Kata beliau, contohnya apabila hendak menurunkan harga daging.
“Saya dengar masalahnya adalah kerana para penternak menghadapi kartel-kartel yang menjual makanan haiwan terlampau mahal.
“Apabila dijual terlampau mahal, maka para penjual terpaksa menjual daging, ayam dengan harga yang tinggi,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada hari ini.
Tambah Abdul Hadi, kerajaan mestilah berani bertindak terhadap kartel-kartel ini bukan sekadar tindakan terhadap penjual dan pembeli sahaja bahkan semua pihak.
“Jadi, nak turun harga lembu, caranya hendaklah bertindak terhadap kartel-kartel,” ujarnya.
Terdahulu Penganalisis Ekonomi, Prof. Madya Mohd Yusof Saari melihat bahawa jawapan kepada masalah kos sara hidup tinggi adalah dengan menghapuskan kartel dalam rantaian bekalan barangan.
Maka tegasnya, usaha kerajaan terdahulu untuk membanterasnya harus diteruskan malah diperhebatkan supaya beban rakyat dapat diringankan tatkala mendepani tempoh resesi.