Segerakan Projek Kawalan Hakisan- Khairuddin

KUALA NERUS, 6 Januari - Kerajaan Terengganu melalui Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Negeri akan melaksanakan kerja-kerja pembinaan struktur lapis lindung batu (840m³ batu besar) sepanjang 60 meter bagi mengawal hakisan pantai di Pantai Tok Jembal dalam masa terdekat.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pihaknya sudah membuat tinjauan dan perbincangan bersama Pegawai JPS Malaysia dan akan menyegerakan projek kawalan hakisan pantai di Tok Jembal memandangkan ia semakin teruk. 

Katanya, saban tahun apabila tiba musim tengkujuh penduduk di sekitar pantai Kuala Nerus akan dihantui rasa resah dan gelisah berikutan fenomena ombak besar yang menyebabkan kawasan pantai semakin terhakis sehingga memusnahkan kediaman dan premis perniagaan mereka.

"Semasa ombak besar yang berlaku baru-baru ini, hakisan telah meruntuhkan sebuah gerai kecil dan merosakkan jalan raya yang menjadi laluan pengunjung ke pesisir pantai.Ia merupakan kawasan tumpuan orang ramai untuk beriadah bersama keluarga dan banyak gerai-gerai makanan berhampiran dengan pesisir pantai ini.

"Faktor keselamatan sudah tentu menjadi keutamaan ketika berkunjung di sini. Insha Allah, pihak kami dan JPS Malaysia akan usahakan dalam masa terdekat dengan menambung 840m³ batu besar sepanjang 60 meter bagi mengurangkan hakisan" katanya ketika ditemui di Pantai Tok Jembal di sini, baru-baru ini.

 

 

Sebelum ini, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia memaklumkan kerajaan pusat telah meluluskan RM90 juta bagi kos projek kawalan hakisan pantai di Kuala Nerus yang tergolong dalam kawasan kritikal. 

Projek itu sedang giat dijalankan bermula di Pantai Pengkalan Maras disusuri kawasan Pantai Mengabang Telipot dan Pantai Tok Jembal.