Semua PBT Terengganu Capai Status Bandar Mampan
KUALA TERENGGANU, 22 November - Kesemua tujuh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri Terengganu telah mencapai status bandar mampan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan & Kesihatan Negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, status itu diperolehi hasil analisa penilaian kemampanan bandar atau MURNInets yang telah dijalankan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLAN Malaysia), baru-baru ini.
"Selain itu, melalui Sistem Penarafan Bintang (SPB) PBT 2024, Alhamdulillah semua PBT di Terengganu mendapat pengiktirafan empat hingga lima bintang.
"Sistem ini bertujuan menilai prestasi dan kecekapan PBT yang berfungsi sebagai mekanisme menilai sejauh mana ia memenuhi standard yang ditetapkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Penggulungan Belanjawan 2025 Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini kelmarin.
Dalam pada itu, Wan Sukairi sempat merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri KPKT, Nga Kor Ming kerana telah mengumumkan kelulusan projek naik taraf Pasar Borong Gong Pauh di bawah rolling plan kelima Rancangan Malaysia ke-12 (RMK) dengan kos RM15 juta.
"Terima kasih juga kepada ahli parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim yang telah membawa usul ini di peringkat parlimen.
"Tidak lupa juga kepada Datuk Bandar MBKT, Dato' Rosli Latif dan pasukannya atas tindakan dan kecaknaan dalam menyelesaikan isu pasar borong ini," katanya.