KUALA TERENGGANU, 29 September - Pavilion Terengganu menjadi tumpuan ramai semasa berlangsungnya Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) dengan menghasilkan jualan sebanyak RM528,000.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, selama 11 hingga 22 September ia diadakan MAHA berjaya lebih 156,000 pengunjung.
"Pavilion Terengganu menjadi antara yang paling ramai menggamit kehadiran pengunjung.
"Alhamdulillah melaluinya kita boleh memperkenalkan pelbagai produk negeri Terengganu dan dalam masa yang sama dapat membantu pengusaha-pengusaha mengembangkan jualan mereka serta dalam masa yang sama menjana pendapatan yang sangat lumayan dalam tempoh 11 hari," ujarnnya.
Beliau berkata demikian kepada berita selepas hadir merasmikan Seminar Amalan Akuakultur Baik dan Pelancaran Dashboard Supply Quality Assurance (SQA) Rend Kenyir di Auditorium Pusat Sains dan Kretaiviti Terengganu, di sini, hari ini.
Dalam pada itu berkongsi mengenai perkembangan semasa pelaburan dalam pertanian Dr Azman memaklumkan, Syarikat McCormik Global yang akan mengusahakan penanaman lada hitam secara komersial di Lembah Bidong kini di fasa terakhir.
"Kini sudah sampai ke peringkat pembinaan kilang.
"Selain itu kita kini sedang dalam perbincangan terakhir dengan sebuah syarikat untuk mengusahakan ladang ternakan ayam daging di Gong Katup, Setiu dengan pelaburan bernilai ratusan juta.
"Insya-Allah nampak keseriusan daripada pihak pelabur, sangat positif dan kita yakin projek ini boleh dijayakan," katanya.
Selain itu katanya, ada beberapa projek dalam peringkat perbincangan antaranya Taman Stevia dan juga pelaburan sektor padi di Kampung Jelapang, Langkap.
"Membabitkan kira-kira 100 ekar tanah yang terbiar sejak sekian lama dengan harapan ia akan menghidupkan semula kawasan jelapang padi di Kampung Jelapang ini," ujarnya.