• 18 Sept 2024 | 14 Rabiul Awal 1446

10 Projek Berimpak Tinggi Dalam Draf Rancangan Tempatan Hulu Terengganu

HULU TERENGGANU, 13 September - Sebanyak 111 cadangan pembangunan dalam Draf Rancangan Tempatan Daerah Hulu Terengganu, Terengganu 2035 (Penggantian) bernilai RM14.08 bilion yang akan dilaksanakan dalam tempoh 11 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata ia membabitkan 10 projek berimpak tinggi bernilai RM11.29 bilion, 59 projek 'enabler' berjumlah RM2.39 bilion dan 42 projek 'quick win' bernilai RM387.57 bilion.

Menurutnya, antara projek berimpak tinggi yang berada di dalam RT ialah cadangan Ladang Solar Terapung di Tasik Kenyir yang akan dimulakan dalam tempoh enam bulan akan datang.

"Tasik Kenyir sebagai sumber ekonomi melalui eko pelancongan serta potensi tenaga hijau yang boleh dimanfaatkan selari dengan hasrat serta hala tuju Menteri Besar Terengganu untuk tidak bergantung kepada minyak dan gas serta beralih ke tenaga boleh diperbaharui.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri telah memulakan langkah yang proaktif melalui Ladang Solar Terapung untuk meningkatkan pendapatan negeri dan daerah Hulu Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Hulu Terengganu, Terengganu 2035(Penggantian)di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) di sini semalam.

Tambahnya, antara projek berimpak tinggi lain yang berada di dalam DRTDHT adalah menaik taraf jalan raya antara Tasik Kenyir ke Aring hingga sempadan Kelantan, selain membangunkan Pusat Pemindahan Kekal Bencana(PPKB).

"Ia juga melibatkan pembaharuan semula Bandar Kuala Berang dan pembangunan bandar Domitri Ajil dan beberapa lagi projek HIP," ujarnya.

Justeru itu, beliau menyeru seluruh penduduk daerah Hulu Terengganu khususnya pemimpin masyarakat untuk mengambil peluang sama-sama mengemukakan maklumbalas dan termasuk orang awam membuat semakan di kaunter semakan dalam tempoh empat minggu ini.

Tambah Wan Sukairi, kerajaan negeri sentiasa memberikan komitmen yang tinggi bagi penyediaan Rancangan Pemajuan di seluruh Terengganu.

"Setiap tahun kita menyalurkan peruntukan pembangunan khusus bagi menampung kos penyediaan Rancangan Pemajuan kepada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Terengganu (PLANMalaysiaTerengganu) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berkaitan bagi RT yang telah tamat tempoh perancangan," ujarnya.


Tag: