11 Pelajar Pusat Tahfiz Di Chukai Nyaris Rentung


Api dilihat sedang membakar bahagian atap pusat tahfiz tersebut.


KEMAMAN  - Seramai 11 pelajar dan seorang guru perempuan nyaris rentung setelah asrama Pusat Tahfiz, Hafizatul Quran, hampir musnah dalam satu kebakaran di Bandar Chukai, di sini, semalam.

Kejadian pada pukul 8.30 malam itu memusnahkan sebahagian tempat penginapan, peralatan peribadi pelajar seperti buku, katil, tilam dan beberapa barangan yang lain.

Rumah yang dijadikan sebagai asrama itu menempatkan pelajar perempuan yang terdiri daripada anak yatim yang berusia sembilan hingga 15 tahun dan ketika kejadian, kesemua pelajar tiada di dalam asrama tersebut.

Abdul Latif Abdul Kadir
Menurut  pengetua pusat tahfiz tersebut, Abdul Latif Abdul Kadir, 50, ketika kejadian kesemua pelajar berada di dalam bangunan bersebelahan kerana mengikuti kelas pengajian al-Quran .

"Salah seorang pelajar yang hendak mengambil wuduk terlihat api melalui tingkap asrama dan apabila dia mendekati melalui pintu belakang, dia terlihat sebuah bilik sedang terbakar.

"Apabila saya tanya di bilik tersebut mempunyai soket elektrik atau tidak dan pelajar terbabit menyatakan tiada soket elektrik berhampiran dengan katil dan keadaan menjadi sedikit kelam kabut apabila semua pelajar melihat kebakaran tersebut," katanya.

Keadaan asrama pelajar yang musnah dalam kejadian tersebut.

Menurutnya, akibat dari kebakaran tersebut, dia  mengalami kerugian hampir RM20,000 selepas semua peralatan yang berada di dalam asrama tersebut musnah mengakibatkan semua muridnya  trauma sejurus insiden itu.

"Kita telah benarkan semua pelajar pulang ke kampung masing-masing kerana banyak kerja pembaikian yang perlu dilakukan sebelum kami benarkan pelajar untuk pengajian dan pada masa yang sama dapat menghilangkan rasa trauma mereka," katanya.

Ketua Zon Dua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ( JBPM ) Negeri Terengganu, Azmi Ab Rahim ketika ditemui berkata, pihaknya bersama kekuatan 20 orang anggota bersama tiga pegawai kanan bersama kekuatan empat buah jentera dan satu unit EMRS bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berkenaan kejadian tersebut pada jam 8.38 malam.

"Operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada pukul 10.12 malam dan kita akan mengarahkan Unit Forensik Kebakaran untuk melakukan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran tersebut," katanya.


Tag: