12 Barangan Harga Terkawal Sempena Tahun Baru Cina 2017

Nawi (tengah) melihat 12 barang harga terkawal bagi Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina berkuatkuasa mulai 23 Januari hingga 3 Februari di Pasaraya The Store, Kuala Terengganu, hari ini. Foto oleh: Zulkifli Putra

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyenaraikan sebanyak 12 barang harga terkawal bagi Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Nawi Mohamad berkata, senarai barangan harga terkawal sempena perayaan bermula 28 Januari ini, akan berkuatkuasa mulai 23 Januari hingga 3 Februari di seluruh negara.

Katanya, senarai barangan berkenaan ialah ayam hidup, ayam standard (disembelih dan dibersihkan beserta kaki, kepala, hati, hempedal), ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal), telur ayam gred A, gred B dan gred C.

“Barangan lain ialah kubis bulat import (Indonesia dan China, tidak termasuk kubis Beijing), bawang putih (China), ikan bawal (berat antara 200 gram hingga 400 gram seekor), udang putih besar (berat antara 41 ekor hingga 60 ekor sekilogram), daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak),” ujarnya pada sidang media sempena Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina di Pasaraya The Store, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengarah KPDNKK Terengganu, Azlan Abdul Samad. 

Menurut Nawi, di Terengganu ikan bawal putih dan udang putih besar menghadapi masalah kekurangan bekalan yang serius ketika sambutan perayaan itu berikutan musim tengkujuh yang menyebabkan nelayan tidak dapat turun ke laut.

“Hanya dua barangan ini kekurangan stok di pasaran tetapi barangan lain tidak ada masalah. Justeru, pengguna diharap bijak membuat pilihan dalam berbelanja kerana walaupun bekalan ikan bawal putih dan udang putih besar agak terhad tetapi ianya masih tersenarai di bawah harga terkawal,” ujarnya.

Katanya, seramai 177 kakitangan KPDNKK Terengganu ditugaskan memantau harga barangan sempena Musim Perayaan Tahun Baru Cina kali ini.

“Sepanjang pemantauan dibuat, tidak ada lagi peniaga yang ingkar dan mengambil kesempatan menaikkan harga barangan terkawal di bawah skim ini,” ujarnya.







Tag: