BESUT, 24 Mac – Seramai 125 golongan asnaf menerima sumbangan dalam Majlis Iftar Perdana Parlimen Besut yang berlangsung di Dewan Haji Salleh, Alor Lintah baru-baru ini.

Program itu dianjurkan bagi membantu mereka yang memerlukan serta mengeratkan ukhuwah antara pemimpin dan masyarakat setempat.

Sumbangan disampaikan oleh Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, bersama Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman.

Menurut Che Mohamad Zulkifly, inisiatif tersebut merupakan tanda keprihatinan kepada golongan yang memerlukan, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

“Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban mereka serta membawa kegembiraan dalam menyambut Ramadan,” katanya.

Majlis dimulakan dengan penyampaian sumbangan kepada asnaf, diikuti tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Ustaz Adam Said bagi memberikan peringatan rohani kepada para hadirin.

Acara diteruskan dengan bacaan tahlil dan doa, sebelum majlis berbuka puasa serta solat Maghrib berjemaah.

Sementara itu, Mohd Nurkhuzaini turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan majlis tersebut.

“Kehadiran ramai penduduk menyemarakkan lagi majlis ini. Terima kasih kepada semua petugas dan sukarelawan yang bekerja keras. Semoga usaha ini diberkati,” katanya.