• 20 Sept 2024 | 16 Rabiul Awal 1446

1,254 Pelajar Cemerlang UPSR, PT3 Terima RM500

Seramai 1,254 murid dan pelajar yang cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun lalu, menerima hadiah wang tunai RM500 setiap seorang, sebagai penghargaan kepada kejayaan mereka.

Pengarah Yayasan Terengganu (YT), Mohamad Sulong berkata, daripada jumlah itu, Kuala Terengganu mencatatkan jumlah murid dan pelajar paling ramai menerima hadiah berkenaan iaitu 53 murid cemerlang UPSR dan 189 pelajar cemerlang PT3.

Katanya, ia diikuti daerah Kuala Nerus yang menyaksikan seramai 41 murid cemerlang UPSR dan 187 pelajar cemerlang PT3; Kemaman (47 UPSR, 77 PT3); Besut (50 UPSR, 175 PT3) dan Dungun dengan 35 murid cemerlang UPSR dan 165 pelajar cemerlang PT3.

"Selain itu di Marang, seramai 17 murid cemerlang UPSR dan 77 pelajar cemerlang PT3 menerima RM500 setiap seorang, selain Hulu Terengganu dengan 16 murid cemerlang UPSR dan 77 pelajar cemerlang PT3 serta 12 murid cemerlang UPSR di Setiu dan 36 pelajar cemerlang PT3," katanya selepas mengiringi Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Nerus, Dato' Basir Ismail menyampaikan hadiah wang tunai itu kepada 228 murid dan pelajar cemerlang di Kuala Nerus di Duyong Marina Resort, semalam.




Tag: