• 17 Sept 2024 | 13 Rabiul Awal 1446

14,865 Pelajar PASTI Terengganu Cipta Rekod Malaysia

KUALA TERENGGANU, 8 September – Seramai 14,865 pelajar Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) berjaya mencipta rekod bagi pertandingan mewarna yang diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records (MBOR) apabila merekodkan penyertaan teramai di Terengganu.  

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim berkata penganjuran aktiviti itu merupakan antara inisiatif menterjemahkan erti kemerdekaan negara mengikut persepsi dalam kalangan pelajar.

 Menurutnya, program berkenaan juga dapat merapatkan ukhuwah dan silaturahim serta memberi impak positif dalam pendidikan awal kanak-kanak.

“Pertandingan mewarna yang dianjurkan dapat menyerlahkan semangat kemerdekaan di kalangan kanak-kanak 

“Lebih membanggakan program itu turut dimeriahkan dengan kehadiran ibu bapa dan  tenaga pengajar PASTI yang memberi sokongan penuh untuk acara bersejarah itu.

"Terima kasih diucapkan kepada semua yang terbabit dalam penganjuran acara ini termasuk pengusaha, ibu bapa, guru dan anak-anak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Perasmian Penutup Program Warna Warni Semarak Merdeka (Acara-Acara Sambutan Sempena Hari Kebangsaan) Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman 2024 di dataran jambatan angkat di sini semalam.

Dalam majlis yang sama, Maliaman turut menyampaikan hadiah untuk Pertandingan Pidato Kemerdekaan Belia Terengganu 2024 antara kategori Mahasiswa dan juga pelajar sekolah menengah.

Tambahnya, aktiviti seumpama  itu juga membantu mengembangkan rasa yakin dan percaya terhadap diri selain mewujudkan kreativiti dalam kalangan kanak-kanak di peringkat usia paling muda.

"Apabila besar kelak, mereka akan menjadi insan yang berbakat dan membesar dalam keupayaan mereka sendiri. 

“Tugas ini bukan mudah, oleh itu kita kagum dengan guru-guru PASTI yang dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik,” katanya.


Tag: