1,637 Ekar Ladang Solar: Terengganu Terus Pacu Tenaga Baharu

KUALA TERENGGANU, 15 April – Terengganu kini memiliki keluasan ladang solar mencecah 1,637 ekar atau bersamaan 662.47 hektar, menjadikannya antara negeri yang aktif mengembangkan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, perkembangan ini menunjukkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menyokong agenda tenaga hijau. 

"Sehingga kini, keluasan keseluruhan ladang solar negeri Terengganu adalah berjumlah 1,637 ekar.

"Ini menunjukkan perkembangan positif dalam sektor tenaga boleh diperbaharui di negeri ini," beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Manir, Hilmi Harun dan ADUN Seberang Takir, Khazan Che Mat dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Kelima Belas, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Menurut beliau, projek ladang solar di daratan diberi keutamaan khususnya di kawasan yang tidak dapat dibangunkan dengan industri lain. 

"Kalau pelabur berminat untuk di daratan, kita sangat memberi keutamaan jika tanah itu kawasan banjir atau berpaya.

"Ini kerana kita dapat menebus guna tanah yang tidak sesuai untuk pembangunan lain," jelasnya.