• 19 Sept 2024 | 15 Rabiul Awal 1446

171 Kilogram Sampah Dikutip di Pantai Air Tawar

BESUT, 9 September - Dalam semangat menyambut Bulan Kebangsaan, Beliawanis Kota Putera bersama Geng Plastik Ija telah berjaya menganjurkan program Plogging Patriotik di Pantai Air Tawar, menyaksikan sebanyak 171 kilogram sampah berjaya dikutip oleh para peserta.

Ketua Geng Plastik Ija Daerah Besut, Afifah Aziz berkata, program tersebut mampu meningkatkan kesedaran komuniti mengenai kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar sambil mengamalkan gaya hidup sihat.

"Saya turut menjelaskan mengenai kepentingan menjaga alam sekitar daripada bahan buangan yang boleh merosakkan ekosistem pantai," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pihak media, semalam mengulas mengenai program yang diadakan di Pantai Air Tawar.

Selain daripada aktiviti mengutip sampah, program itu turut diselitkan dengan kuiz kemerdekaan yang menguji pengetahuan peserta tentang sejarah negara.

Katanya, matlamat utama ialah menggalakkan aktiviti kesihatan sambil menjaga kebersihan alam sekitar. 

Sementara itu, Ketua Beliawanis DUN Kota Putera, Ummi Kalthum Mamat menyatakan harapan agar program seperti ini dapat menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus peka terhadap kebersihan persekitaran dan mengamalkan gaya hidup sihat. 

"Program ini bukan sahaja membantu meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan,tetapi juga mengeratkan lagi hubungan peserta melalui aktiviti yang sihat dan bermanfaat.

"Dengan kejayaan program ini, Beliawanis Dun Kota Putera bertekad meneruskan usaha-usaha murni dalam memperkasakan komuniti dan memupuk semangat patriotik di kalangan rakyat Malaysia," jelas beliau.


Tag: