HULU BESUT, 15 Mac – Seramai 180 asnaf di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut rata-ratanya gembira menerima sumbangan pakaian raya menerusi Program Sinar Aidilfitri yang berlangsung selama dua hari.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin, berkata inisiatif ini dilaksanakan bagi membantu persiapan Aidilfitri melalui pemberian baucar bernilai RM150 bagi setiap satu, membolehkan penerima memilih pakaian yang sesuai untuk anak-anak mereka di Pasaraya Econjaya dan Pusat Pakaian Hari-Hari.
“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha saya sendiri untuk memastikan keperluan mereka dapat dipenuhi dengan lebih sempurna dan sesuai bagi menyambut Aidilfitri,” katanya ketika ditemui dalam majlis tersebut, di sini, semalam.
Beliau turut berharap sumbangan kecil ini dapat membawa kegembiraan kepada penerima serta menjadi simbol kasih sayang dan keprihatinan terhadap komuniti setempat.
“Saya mendoakan agar semua diberikan keberkatan, kesihatan, dan kebahagiaan dalam menyambut bulan Syawal yang bakal tiba,” tambahnya.
Program ini mendapat sambutan baik daripada penerima yang berterima kasih atas keprihatinan dan bantuan yang diberikan bagi meringankan beban mereka menjelang Hari Raya.