188 Soalan Dikemuka Zahir Kecaknaan ADUN Pilihan Rakyat

KUALA TERENGGANU, 15 April - Sebanyak 188 soalan lisan dan bertulis telah dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada kali ini.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato' Mohd Nor Hamzah berkata, berlalu peningkatan sebanyak 27 peratus terhadap penambahan soalan yang mencerminkan tahap kecaknaan dan keaktifan ADUN yang semakin tinggi dalam membawa isu-isu berkatan rakyat untuk diperjuangkan.

"Analisis dalaman mendapati bahawa 40 peratus daripada soalan tertumpu kepada isu-isu infrastruktur dan kemudahan asas, diikuti oleh isu ekonomi dan pekerjaan sebanyak 25 peratus serta sosial dan kebajikan sebanyak 15 peratus.

"Hal ini menunjukkan keseimbangan tumpuan antara pembangunan fizikal dan kesejahteraan rakyat dan ia perlu dipandang serius oleh pihak kerajaan negeri," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini

Dalam pada itu, Mohd Nor mengucapkan tahniah kepada semua ADUN atas keprihatinan yang ditunjukkan.

"Peranan sebagai ADUN bukan sekadar menyokong atau menentang, tetapi juga menjadi pemikir dasar, penyampai aspirasi rakyat dan pemantau pelaksanaan dasar awam.

"Teruskanlah budaya sihat ini dengan semangat wacana yang matang, adab perbahasan yang tinggi dan semangat kolektif membina negeri," ujarnya.


Tag: