KUALA TERENGGANU, 23 April – Seramai 1,880 belia berusia antara 21 hingga 40 tahun berjaya memiliki rumah menerusi pelbagai skim perumahan yang dilaksanakan kerajaan negeri di seluruh Terengganu sejak 2018 hingga 31 Mac 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kejayaan itu dicapai melalui beberapa projek perumahan yang dilaksanakan di beberapa daerah, termasuk RMM Seri Bandi di Kemaman, RPMM Pulau Redang di Kuala Nerus, RMM Padang Setengge di Hulu Terengganu dan PRR Bukit Nenas di Kuala Nerus.
Katanya, beberapa lagi projek turut melibatkan kawasan di Marang, Besut dan Dungun.
“Kita telah mengagihkan sebanyak 1,880 unit rumah kepada golongan belia berusia 21 hingga 40 tahun melalui pelbagai projek perumahan di seluruh negeri dari 2018 hingga 31 Mac lalu.
“Antara projek terlibat termasuk RMM Seri Bandi di Kemaman, RPMM Pulau Redang di Kuala Nerus, RMM Padang Setengge di Hulu Terengganu, PRR Bukit Nenas di Kuala Nerus serta beberapa projek lain di Marang, Besut, dan Dungun,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Tengku Md Fauzi pada Mesyuarat Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Menurut beliau, sambutan terhadap skim perumahan yang disediakan kerajaan negeri kekal tinggi apabila seramai 33,796 belia mendaftarkan permohonan dalam sistem e-perumahan setakat Mac 2026 bagi memiliki kediaman sendiri.
Wan Sukairi berkata, angka itu mencerminkan permintaan tinggi terhadap kediaman mampu milik dalam kalangan anak muda berumur antara 21 hingga 40 tahun.
Katanya, kerajaan negeri sentiasa komited memastikan golongan muda mampu memiliki rumah pertama tanpa terbeban dengan komitmen hutang jangka panjang yang tinggi.
Jelas beliau, antara langkah utama yang diambil ialah menyediakan projek Rumah Mampu Milik (RMM) pada harga lebih rendah berbanding nilai pasaran semasa.
“Harga RMM yang ditetapkan adalah serendah RM90,000 bagi RMM Jenis A dan RM185,000 bagi RMM Jenis B.
“Malah, kita turut memperuntukkan kuota sebanyak 10 peratus bagi setiap projek RMM khusus untuk golongan belia yang telah berkahwin bagi membantu mereka membina kehidupan berkeluarga lebih selesa dengan bayaran bulanan yang lebih rendah tanpa terbeban dengan hutang jangka panjang,” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan negeri turut memperkenalkan skim pembiayaan tanpa faedah bagi semua projek RMM awam.
“Bagi meningkatkan penyediaan RMM secara berterusan kepada rakyat, Kerajaan Negeri turut menjalin kerjasama strategik dengan Kerajaan Persekutuan, khususnya melalui Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan agensi pelaksana lain,” ujarnya.
Tag :