• 19 Sept 2024 | 15 Rabiul Awal 1446

1,888 Sertai Perarakan Maulidur Rasul di Terengganu

KUALA NERUS, 16 September -  Seramai 1,888 peserta membabitkan 59 kontinjen menjayakan perarakan sejauh kira-kira empat kilometer sempena Sambutan Maulidur Rasul 1446H/2024M Peringkat Negeri, hari ini.

Sambutan bermula jam 8 pagi diketuai Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja.

Turut menyertai perarakan, barisan Exco negeri, pegawai kanan kerajaan dan ketua-ketua jabatan.

Sambutan bermula dari padang bola sintetik di Kampung Tok Jiring ke Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, di Kuala Nerus.

Perarakan turut melibatkan agensi kerajaan, swasta, Badan bukan Kerajaan (NGO), sekolah, IPT serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

Sepanjang perarakan peserta membawa sepanduk melambangkan kecintaan kepada Rasulullah SAW sambil berselawat.

Dalam perarakan berkenaan, sebanyak lima kategori dipertandingkan iaitu Perarakan Jabatan Kerajaan dan Badan Berkanun Negeri, Jabatan Kerajaan dan Badan Berkanun Persekutuan, Pasukan Sekolah Menengah dan Institusi Pengajian Tinggi, Syarikat-syarikat Swasta serta NGO dan JPKK.
 


Tag: