2021, Tahun Bertuah Petani Terengganu

KUALA TERENGGANU, 3 November – Tahun 2021 bakal menjadi tahun bertuah kepada seluruh warga tani di negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, perkembangan itu selari dengan titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin semasa perasmian sidang Dewan Undangan Negeri lalu.

"Kita mempunyai agenda yang besar menjelang tahun 2021. Selaras dengan itu, kita nampak ruang-ruang yang agak menceriakan untuk warga tani Terengganu dengan peruntukan bajet yang jauh lebih besar berbanding dengan tahun sebelumnya.

"Kalau kita tengok berdasarkan pada laporan Jabatan Perangkaan Malaysia bagi tahun 2019, peningkatan ekonomi Terengganu berlaku pada kadar 3.3 peratus meningkat sedikit berbanding dengan 2.8 peratus pada tahun 2018 dan peningkatan ini daripada dua sektor iaitu pertanian dan perkhidmatan.

"Ia terbukti pergerakan dan rangsangan ekonomi negeri ini dirangsang oleh sektor pertanian. Ini kerana hampir 70 peratus orang melayu beragama Islam di Terengganu berada dalam sektor ini sama ada sektor pertanian, penternakan, perikanan atau akuakultur," katanya kepada ketika ditemui media di Wisma Darul Iman hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan usaha untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri akan terus berjalan.

"Jadi, kalau kita nak bantu rakyat dan mahu merangsangkan ekonomi supaya bergerak, kita perlulah tengok di mana majoriti rakyat kita berada. Tidak lain tidak bukan, sektor pertanian inilah yang perlu digerakkan.

"Saya nampak ada ‘hint’ yang menggembirakan dan tunggulah ia di masa depan, insya-Allah,’’ ujarnya.