lightning-solid
Berita :
21 Projek Keterjaminan Makanan Dilaksana di Terengganu Tahun 2025
21 Projek Keterjaminan Makanan Dilaksana di Terengganu Tahun 2025
Mastura Jamal Din
12 Nov 25
380

KUALA TERENGGANU, 12 November – Sebanyak 21 projek telah dan sedang dilaksanakan di seluruh negeri bagi memastikan agenda keterjaminan makanan dapat dicapai dengan berkesan.

Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM18.88 juta kepada Terengganu bagi melaksanakan Program Kerjasama Keterjaminan Makanan 2025 yang dijalankan antara kerajaan negeri dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, pelaksanaan setiap projek dipantau secara berkala oleh Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) bersama pegawai daripada KPKM bagi memastikan ia berjalan mengikut jadual.

“Antara projek yang sedang dilaksanakan ialah menaik taraf Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Rhu Tapai, Setiu dengan peruntukan RM430,000. Kemajuan kerja kini telah mencapai 75 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada 7 Disember ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, hari ini.

Dr. Azman berkata, antara projek yang telah siap sepenuhnya ialah Projek Pembangunan Tukun Tiruan Penghalang Pukat Tunda (Rekreasi) Garisan Sempadan Zon Pesisir Pantai serta Projek Pemerkasaan Perikanan Darat melalui Jabatan Perikanan Malaysia Negeri Terengganu.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri turut melaksanakan Program Peningkatan Populasi Ternakan Ruminan dengan peruntukan RM2 juta bagi mengimport baka lembu dari luar negara.

“Setakat ini, sebanyak 136 ekor lembu baka Brahman dan Limousine telah tiba di Terengganu untuk tujuan pembiakan bagi meningkatkan populasi ternakan tempatan,” jelasnya.



Tag :

Artikel Berkaitan