212 Pelajar Politeknik Terima Tauliah APM

DUNGUN, 21 September - Seramai 212 pelajar daripada 12 buah Politeknik Malaysia telah menerima pertauliahan sebagai Pasukan Institusi Pertahanan Awam Malaysia (PISPA).

Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Zainab Ahmad berkata, latihan dan kursus yang dijalankan bersama pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) itu mencakupi aspek kognitif serta psikomotor. 

katanya, antara objektif PISPA adalah untuk menyebar dan mendidik pelajar mengenai langkah-langkah keselamatan diri dan orang awam serta membentuk keperibadian mereka untuk menjadi seorang individu yang berpengetahuan dalam ilmu Pertahanan Awam.

"Kursus yang diadakan terbukti berjaya menaikkan lagi elemen kemahiran insaniah, kepimpinan, tanggungjawab dan disiplin dalam kalangan anggota PISPA," ujarnya ketika berucap di Majlis Pentauliahan PISPA Politeknik Malaysia 2022 Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Dewan Dagang, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), baru-baru ini.

Sementara itu katanya, pihak JPPKK sentiasa membuka ruang dan peluang kepada pihak APM untuk mengadakan kolaborasi berbentuk penyelidikan inovasi secara bersama. 

"Kami juga mengalu-alukan dan mempelawa anggota APM untuk mengikuti kursus-kursus Pendidikan Sepanjang Hayat (PSH) di mana-mana Politeknik atau Kolej Komuniti di seluruh Malaysia. 

Katanya, melalui platform tersebut, ianya dapat menjadi salah satu faktor pemangkin kepada pembinaan kredibiliti dan imej Politeknik juga APM. 

" Melalui platform ini juga akan mampu menjadikan kedua-dua institusi untuk kekal relevan dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik seiring dengan keperluan pembangunan negara kita," katanya lagi 

"Besar harapan kami di JPPKK agar pendekatan ini mampu melahirkan graduan holistik seimbang yang berdaya saing dan mampu menyumbang kepada kebolehpasaran graduan politeknik saban tahun," ujarnya.

 


Tag: