2,300 Penghuni Penjara Marang Terima Suntikan Vaksin Mulai Hari Ini

MARANG, 20 September - Seramai 2,300 penghuni Penjara Marang menerima suntikan vaksin COVID-19, mulai hari ini.

Program tiga hari vaksinasi penghuni penjara berkenaan bertujuan membendung penularan COVID-19 di penjara.

Program tersebut bermula jam 9 pagi dan seramai 1,000 penghuni menerima vaksin jenis CanSino pada hari ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, kesemua penghuni Penjara Marang akan menerima suntikan vaksin COVID-19.

"Hanya 300 daripada 2,600 penghuni penjara dikecualikan buat sementara waktu kerana beberapa faktor, termasuk masalah kesihatan dan sedang dikuarantin.

"Mereka akan diberikan vaksin selepas menepati syarat yang ditetapkan," ujarnya ketika ditemui di Penjara Marang, di sini, hari ini.

Hadir sama dalam program itu, Pengarah Penjara Marang, Penolong Kanan Komisioner Nik Robidin Ab Rahman dan Pegawai Daerah Marang, Lizan Che Mat.

Menurut Kasemani, pihaknya dibekalkan 5,000 dos vaksin CanSino pada 19 September dan akan menerima lebih 4,000 dos lagi akhir September ini.

Mengulas lanjut, tambahnya, sebanyak 364 kes positif dilaporkan di Penjara Marang sejak penularan COVID-19 di negeri itu.

"Jangkitan berpunca daripada pergerakan kakitangan dan penghuni sendiri walaupun sekatan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dipenjara, ketat," katanya.

Dalam pada itu, seorang penghuni, Man (bukan nama sebenar), 34, berkata, beliau bersyukur kerana menerima suntikan vaksin COVID-19 itu.

"Walaupun berada di penjara, saya berasa tidak selamat selagi tidak menerima suntikan vaksin itu.

"Kami faham akan kepentingan vaksin dan berasa lega apabila menerima vaksin sekarang.

"Sekurang-kurangnya peratus dijangkiti penyakit COVID-19 kurang berbanding sebelum ini," katanya.

Abu (bukan nama sebenar), 28, berterima kasih kepada semua pihak kerana tidak menyisihkan penghuni penjara.

"Walaupun kami berada di penjara, kami tetap diberi keutamaan untuk menerima vaksin," katanya.


Tag: