MB Ziarah Mangsa Musibah Kebakaran Di Kampung Alor Pok Bang

MARANG, 9 April 2025 – Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar meluangkan masa menziarahi keluarga mangsa kebakaran di Taman Emas Murni, Kampung Alor Pok Bang, di sini, petang semalam.

Beliau bersama beberapa agensi kerajaan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah hadir sendiri ke lokasi kebakaran bagi meninjau keadaan rumah yang musnah terbakar serta menyantuni ahli keluarga mangsa.

Ahmad Samsuri turut menyampaikan kata-kata semangat dan menzahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa sambil memaklumkan bahawa bantuan segera akan disalurkan.

“Kami di pihak kerajaan negeri akan membantu sebaik mungkin untuk meringankan beban keluarga mangsa," ujarnya kepada pemberita.

Terdahulu, suasana pagi di Kampung Alor Pok Bang dikejutkan dengan insiden tragis apabila seorang warga emas yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) maut dalam kebakaran rumah yang berlaku kira-kira jam 4.20 pagi semalam.

Mangsa, Razaidah Muhamad, 78 tahun, ditemukan rentung di bilik belakang rumah selepas gagal menyelamatkan diri dalam kejadian menyayat hati itu. 

Ketika kejadian, arwah bersama anak perempuannya, Halimahtun Mat Zin,49, serta dua cucunya, Nur Aishah Najwa ,23, dan Mohd Nur Hakim,18, berada di dalam rumah.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marang, Timbalan Penguasa Bomba Che Badrul Isham Che Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.27 pagi dan segera bergegas ke lokasi kejadian.

“Ketiga-tiga mangsa lain, termasuk anak dan dua cucu mangsa, berjaya keluar sebelum anggota bomba tiba, namun Razaidah yang uzur dan bergelar OKU tidak sempat diselamatkan,” katanya.

Menurut beliau, kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh 30 minit dan mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk tindakan lanjut.

"Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,' ujarnya.


 

 


Tag: