KUALA TERENGGANU, 20 November — Usaha memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi bencana khususnya banjir terus dipertingkat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading apabila seramai 292 peserta menghadiri sesi taklimat serta pendaftaran aplikasi MyIBJKM di sini, semalam.
Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Buluh Gading (PKMDBG) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu bertujuan memastikan maklumat mangsa bencana dapat direkodkan dengan lebih sistematik, sekali gus mempercepatkan proses penyaluran bantuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim, berkata kawasan itu sememangnya sinonim dengan isu banjir, justeru sebarang inisiatif yang dapat memperkemas penyelarasan bencana amat dialu-alukan.
“Di DUN Buluh Gading, apabila kita bercakap tentang bencana, tumpuannya sudah tentu kepada banjir. Kehadiran hampir 300 peserta ini menunjukkan kesedaran masyarakat semakin meningkat dan mereka bersedia untuk memahami mekanisme pengurusan bencana dengan lebih baik,” katanya ketika ditemui selepas program berkenaan.

“Program ini bukan sahaja berperanan menyampaikan bantuan dan maklumat yang bermanfaat, malah turut memperkukuh jalinan hubungan yang erat antara agensi kerajaan dan masyarakat,” katanya lagi.