3,000 Pemilik Motosikal Kuasa Tinggi Hangatkan Terengganu Bike Week 2018
Program tahunan anjuran Persatuan Gabungan Permotoran Negeri Terengganu dengan kerjasama kerajaan negeri bakal menghimpunkan 3,000 pemilik motosikal kuasa tinggi dari seluruh Malaysia termasuk Brunei, Singapura dan Thailand berkampung di Terengganu.
Inisiatif itu merancakkan usaha kerajaan mempromosi pelancongan negeri sempena Beautiful Terengganu 2018 sekali gus menjadi duta kecil memperkenalkan Terengganu sebagai destinasi pelancongan terbaik kepada peserta luar.
Presiden Persatuan Gabungan Permotoran Negeri Terengganu (PGPNT), Tengku Sri Temenggong Raja, Dato' Seri Tengku Baharuddin Sultan Mahmud akan mengetuai program Konvoi Muhibbah dari Batu Burok ke Dataran Padang Kachong, Kampung Kuala Telemong pada 31 Mac ini.
"Di situ semua penunggang dan peserta akan beramah mesra bersama rakyat dan menikmati makan tengahari gulai kampung yang disediakan secara gotong-royong oleh masyarakat kampung terlibat.
"Aktiviti di Dataran Batu Burok sepanjang tiga hari pula seperti gerai pameran, jualan usahawan tempatan, mini konsert, pameran kereta dan motosikal, pertunjukan aksi stunt motosikal dan talk show bersama tokoh ilmuwan," menurut satu kenyataan kepada media.