• 25 Okt 2024 | 22 Rabiul Akhir 1446

32 Anak Yatim Piatu Terbang ke Kuala Lumpur

KUALA TERENGGANU, 24 Oktober - Seramai 32 anak yatim piatu dari setiap DUN di Terengganu telah terpilih menyertai program 'Terbang ke Kuala Lumpur'.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim, menyatakan bahawa inisiatif kali pertama kerajaan negeri itu telah dirancang sejak empat bulan yang lalu.

"Walaupun negeri sedang berhadapan dengan cabaran ekonomi, ia tidak menjadi halangan untuk kita merealisasikan program ini.

"Bagi saya, kita teruskan program ini walaupun tiada dana khusus daripada Persekutuan (royalti).

"Walaupun kerajaan pusat tidak begitu simpati dengan kita, masih ramai individu yang berkemampuan tampil untuk menyumbang bersama kami," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media program 'Terbang Ke Kuala Lumpur' bersama Anak Yatim Piatu Negeri Terengganu di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, hari ini.

Menurutnya, anak-anak yatim piatu yang terlibat berusia antara 10 hingga 15 tahun dan masih bersekolah, serta tidak pernah menaiki kapal terbang.

"Bagi mereka, ini merupakan pengalaman pertama menaiki kapal terbang dan diharapkan ia dapat mengubati sedikit sebanyak luka di hati mereka.

"Kami mahu menunjukkan bahawa masyarakat dan kerajaan negeri sentiasa bersedia membantu golongan anak yatim yang kekurangan dari sudut kasih sayang.

"Kami turut memberikan pendidikan secara tidak langsung dan ingin mereka tahu bahawa masih ada orang yang menyayangi mereka," tambah Maliaman.

Beliau juga menyatakan bahawa program ini adalah yang pertama kali diadakan dan akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang.


Tag: