lightning-solid
Berita :
410 Kilogram Sisa Monsun Dibersihkan di Pantai Pandak
410 Kilogram Sisa Monsun Dibersihkan di Pantai Pandak
Zahid Mustafar
1 hari yang lepas
62

Oleh: Pok Abbas

KUALA TERENGGANU, 9 Januari – Sebanyak 410 kilogram sisa sampah berjaya dikumpulkan menerusi Program Pembersihan Pantai di Pantai Pandak, semalam, hasil inisiatif skuad Geng Plastik Ija (GPI) Kuala Terengganu bersama komuniti setempat.

Program yang berlangsung selama kira-kira satu jam itu disertai lebih 60 orang sukarelawan terdiri daripada ahli GPI, Ahli-ahli Majlis, pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Chendering serta penduduk sekitar, dengan objektif meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan menjaga kebersihan pantai dan alam sekitar, khususnya ketika musim Monsun Timur Laut (MTL).

Ahli Jawatankuasa GPI Kuala Terengganu, Zalina Binti Zakaria berkata, daripada jumlah sisa yang dikumpulkan, sebanyak 85 kilogram merupakan botol plastik yang dibawa arus laut dan terdampar di pesisir pantai.

"Program gotong-royong ini dianjurkan bersempena Tahun Baharu 2026 bagi menggalakkan masyarakat mengisi masa dengan aktiviti berfaedah serta memberi manfaat kepada komuniti dan alam sekitar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

IMG-20260109-WA0098.jpg 349.33 KB
Menurut beliau, pembersihan turut memfokuskan kawasan sekitar hotel terbengkalai di Pantai Pandak yang sering menjadi tumpuan orang ramai, namun terdedah kepada masalah pencemaran akibat pembuangan sampah tidak terkawal.

Beliau berkata, usaha pembersihan secara berterusan amat penting bagi mendidik masyarakat agar lebih bertanggungjawab dalam pengurusan sisa pepejal, khususnya sisa plastik yang memberi kesan kepada ekosistem marin.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan kawasan rekreasi awam dan mengamalkan amalan pengurangan penggunaan plastik sekali guna.
IMG-20260109-WA0096.jpg 274.73 KB


Artikel Berkaitan