• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

50 Pegawai PPDNKK Pantau Harga Barang Musim Perayaan



Lebih 50 penguatkuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Terengganu bagi memantau harga makanan dan barang keperluan asas harian sempena Musim Perayaan Aidilfitri di pasar seluruh Terengganu.

Pengarah PPDNKK Terengganu, Azlan Abdul Samat berkata, pihaknya menetapkan harga maksimum bagi 20 jenis barang harga terkawal untuk dikuatkuasakan bermula 17 Jun sehingga 30 Jun ini di bawah Skim Kawalan Harga musim perayaan Aidilfitri kali ini.

Katanya, antara barang disenaraikan termasuk ayam hidup dengan penetapan harga runcit RM6.20 sekilogram (kg), ayam standard (RM7.50 kg), ayam super (RM8.40 kg), daging lembu tempatan (RM32 kg),daging kerbau import (RM20 kg), cili merah (RM11 kg), kelapa parut (RM7.20 kg) dan ikan tongkol dengan penetapan RM10 kg.

“Perkara itu perlu dipatuhi termasuk meletakkan tanda harga berwarna merah jambu diletakkan pada barang yang dikawal di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Aidilfitri 2017 dan timbang digunakan semestinya dalam tempoh yamg dibenarkan.

“Peniaga yang gagal mematuhi skim kawalan harga ini boleh dikenakan denda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 bagi individu manakala bagi syarikat pula dikenakan denda sehingga RM20,000 atau kompaun RM10,000 di bawah Akta Kawalan harga dan Antipencatutan 2011,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pemantauan harga sempena Kempen Kesedaran Kementerian PDNKK Bersama Media di Pasar Payang Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, berdasarkan kempen itu, pihaknya berpuashati dengan kepatuhan peniaga terhadap undang-undang kepenggunaan kerana semua penjual didapati meletakkan tanda harga.

“Pemeriksaan harga ini akan terus dilakukan secara berkala oleh pegawai-pegawai KPDNKK seluruh daerah bagi memastikan peniaga tidak mengambil untung berlebihan serta mematuhi peraturan,” katanya.

Tag: