KUALA NERUS, 29 Julai – Seramai 500 peserta menghadiri Konvensyen Baitulmal Kebangsaan (KBK) 2026 yang menghimpunkan pelbagai institusi pengurusan hal ehwal Islam dari seluruh negara.
Konvensyen selama dua hari bermula semalam itu melibatkan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), Agensi Mengurus Zakat (AMZ), Agensi Mengurus Wakaf (AMW), Agensi Mengurus Sumber Am (ASA), Jabatan Agama Islam Negeri serta Jabatan Mufti Negeri.
Turut terlibat ialah institusi pengajian tinggi awam dan swasta, agensi Kerajaan Persekutuan serta pembentang jemputan.
Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Dato’ Mohd Zaidi Ramli berkata, konvensyen anjuran JAWHAR bersama Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) itu kini memasuki siri keenam.
Menurutnya, konvensyen kali ini mengangkat tema ‘Wawasan Baharu Kewangan Sosial Islam: Transformasi Baitulmal, Memperkasa Agenda Fardu Kifayah’.
“Konvensyen ini turut melibatkan pakar akademik dan pengamal industri bagi membincangkan hala tuju serta transformasi pengurusan baitulmal di Malaysia.
“Penganjuran KBK 2026 bertujuan merangka hala tuju dan strategi bagi memperkasa sosioekonomi ummah berteraskan sektor ekonomi fardu kifayah.
“Ia juga bertujuan meningkatkan kompetensi institusi pengurusan baitulmal melalui perkongsian kepakaran, pengalaman dan amalan terbaik, selain memperkukuh persefahaman serta kerjasama strategik antara JAWHAR dengan institusi pengurusan baitulmal di seluruh negara,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di sini, semalam.

Katanya, sesi berkenaan menampilkan tokoh berpengalaman dalam bidang kewangan sosial Islam, sekali gus menjadi medan percambahan idea bagi memperkukuh tadbir urus institusi baitulmal.
“Usaha ini penting supaya institusi baitulmal terus relevan, inovatif dan mampu memberikan impak tinggi terhadap pembangunan negara.
“Konvensyen Baitulmal Kebangsaan terus memainkan peranan sebagai platform penyelarasan dasar, perkongsian amalan terbaik dan pengukuhan jaringan kerjasama antara institusi pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia.
“Penganjuran tahun ini turut mencerminkan komitmen berterusan JAWHAR dan MAIDAM dalam memperkasa sistem kewangan sosial Islam yang mampan demi kesejahteraan ummah serta pembangunan negara,” ujarnya.